..:: Dakwah Keliling Di Kg Lajong, Niah ::..

Thursday, September 03, 2009

"Kenapa nama Lajong?". Saya bertanya kepada Abang Ramli, anak jati Kampung ini.

"Dulok Ustaz, Belakang dekat tepi sungei sia, ada orang nok di kubur. Nya mpun nama "Lajong". Pendek cerita mun orang mok datang sitok, sidak pada mok ke Lajong. Nya la diberik nama Lajong". Cerita Abang Ramli dengan penuh semangat tak kala stereng 4x4 di kawal dengan cermat.


Jalan selepas menyusuri Kuala Niah agak teruk. Dengan batu yang tidak rata dan bukan senang jika datang menggunakan kenderaan biasa. Ini sudah dinamakan nikmat kemajuan. Tetapi sayang, 52 tahun merdeka mereka masih belum mendapat kemudahan jalan raya yang sebaiknya. Mujur YB baru mereka perihatin dan jalan berbatu ini lebih baik dari menaiki bot untuk keluar ke jalan utama.

Perjalanan dari Miri ke Simpang Niah sekitar 1 jam, dan dari simpang ke kampung ini sekitar 1 jam perjalanan dengan pacuan 4 roda hanya boleh bergerak sekitar 20 km sejam. Bayangkan bagaimana mereka berulang alik keluar!

Rombongan dari Masjid Darul Istiqamah Kampung Luak dan beberapa orang JK Persatuan Imam-Imam Miri selamat sampai dan berbuka puasa di sana. Cukup hebat dan terharu apabila juadah berbuka puasa di bawa sendiri dan kami tidak mahu orang kampung menyediakan untuk kami. Kami datang untuk menyelesaikan amanah agama, dan bukan datang untuk disambut seperti orang Istana!

Selepas berbuka puasa dan menunaikan Solat Maghrib berjemaah, kami sempat bertukar-tukar pendapat bersama orang kampung. Mereka di sini terdiri dari 30 buah keluarga Islam yang menetap sejak dahulu lagi. Apbila hampir waktu isyak kedengaran suara kanak-kanak yang datang dan bersedia untuk bersama-sama Solat Terawikh nanti. Teringat zaman kanak-kanak yang menunggu solat terawikh untuk berebut hidangan Morei!

Saya sempat memberikan Tazkrah pendek selepas 4 Rakaat dan meneruskan 4 Rakaat lagi serta Witir selepasnya. Syukur, kehadiran amat memberangksangkan dan kanak-kanak tadi tidak berganjak. Yang amat menarik, mereka tidak bising seperti saya sewaktu seusia mereka. Munkin kesan Kem Bestari Solat yang di laksanakan di sekolah mereka!

Saya meneliti raut wajar sebilangan Pak Tua yang datang. Ramai juga dikalangan belia dan cukup terharu apabila seorang Muallaf datang untuk berterawikh. Sekali pandang, rupaya seperti orang melayu. Tetapi Tarmizi adalah seorang Iban yang memeluk Islam kerana keindahanyya. Cukup bersih air muka Tarmizi. Seorang Guru Kemahiran Hidup yang hanya setahun di hantar oleh Kementerian. Semoga beliau akan terus menyelami keindahan Islam yang sebenar dan memberi contoh kepada orang yang telah lama memeluk Islam.

Malam sudah larut, selepas singgah sebentar di rumah Penghulu kami semua pulang ke Miri. Walau agak mengantuk dan perjalanan 2 jam lebih akan menambahkan lagi keletihan. Keletihan sebenarnya hanya mainan, tetapi yang terindah bila dapat berjumpa dengan saudara seislam di sana yang sangat memerlukan sedikit bimbingan. Semoga akan dapat bersua lagi dengan mereka, dan semoga Allah meletakkan perjalanan ini sebagai bukti di mahsyar nanti. amien.


"Pada hari ini Kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan" Yasin : 65

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Foam by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP