Showing posts with label Cerpen. Show all posts
Showing posts with label Cerpen. Show all posts

Satu Perjalanan, Seluruh Ingatan…

Friday, February 27, 2009


Bab Dua

"Sebenarnya anak-anak berhutang dengan mak ayah mereka" kata seorang tua sewaktu berhenti minum melepas lelah di belakang bot.

Suasana sepi seketika walaupun deruan enjin bot memencah bunyi.

Dia terkedu bila mendengar kata-kata tersebut. Masa tu buat pertama kalinya dia mengikut ayahnya ke laut. Sepanjang hidupnya, itulah pertama kali ayah ajak ke laut. Ayah tak pernah membenarkan dia mengikutnya. Walaupun sekali!

Jawapannya hanya satu, "Tak boleh, duduk rumah dan baca buku!".

Hatinya selalu bertanya, kenapa tak pernah diajak ya?

"Anak-anak dari kecil hingga besar akan tetap berhutang"

Sambung seorang tua yang duduk bersamanya dengan nada seperti mengeluh sesuatu.

"Awang belajar lagi?" Tanya Pak Tua kepadanya dengan panggilan awang. Bagi orang pantai timur, Awang adalah panggilan timangan bagi budak lelaki.

"Emm, ya belajar lagi". Jawabnya pendek.

"Kat mana, tahun berapa dah?" Tanya Pak Tua penuh minat.

"Kat UIA, tahun dua".

Matanya tidak berkelip menjawab soalan si tua. Masa tu ayahnya sibuk di depan bot memerhatikan munkin masa sesuai untuk turunkan pukat. Sekarang musim ikan bilis. Pukat cerut digunakan untuk musim ni. Beberapa kali pukat akan diturunkan.

Pengalaman pertama tadi, letih sangat bila naikkan pukat. Ada keluhan di hatinya.

"Anak-anak berhutang susu dengan ibunya, berhutang peluh dengan ayahnya"

Pak Tua berkata lagi dengan penuh kesal sambil menghembuskan rokok daun yang digulung tadi. Mulutnya terkumat-kamit sambil rokok daun itu diketatkan di bibir mulut. Pipinya yang sedikit kempis menandakan giginya yang luruh dimakan usia".

"Kenapa pulak nak berhutang pulak Pak Cik". Dia memberanikan diri dengan bertanya.

Sambil menggaru janggutnya yang putih itu, Pak Tua menjawab "Masa anak masih kecil, ibu menyusukan dengan penuh kesungguhan. Tak kan lapar anak. Ayah mencari rizeki untuk mereka dengan keringat tulang empat kerat. Sampai masanya mereka patut membalas balik pengorbanan tersebut". Pak Tua berhenti seketika sambil menghembuskan asap rokoknya.

Suasana terus sepi…

Tapi budak-budak sekarang sekolah pun tak mahu. Kerja pun tak mahu. Tapi duit yang diminta. Bukan nak tolong apa yang patut". Pak Tua menyambung dengan nada kesal terus diungkap.

Dia terus terdiam untuk mencari jawapan pada kata-kata kesalan itu…

"Awang belajar baik-baik, biar berjaya. Ada peluang, jangan main-main, biar bersungguh!" Itu kata-kata terakhir Pak Tua, terus bangun dan pergi meneruskan kerja. Dia ditinggalkan dengan seribu tanda tanya.

Dia bermonolog sendirian, mencari jawapan…

Dia terfikir bila kata-kata si tua tadi menerjah minda. Rasa terpukul dan tersentak. Adakah kita berhutang? Bukankah menyusu dan mencari rizeki itu wajib? Kenapa perlu di bayar oleh kita? Kalau dapat dibayar, tapi berapa?

Bersambung...

Read more...

Satu Perjalanan, Seluruh Ingatan...

Wednesday, February 25, 2009


Bab Satu

Deruan bot nelayan memecah sunyi. Keriuhan suara awak-awak dan juragam bersahutan. Pukat yang tersedia diangkut ke tempatnya. Pelampung yang diikat dengan tali juga diangkat. Kedengaran sekali sekala ketawa yang menggelikan hati. Entah apa yang mencuit hati. Bila semua telah bersedia, juragam mengemudi bot ke destinasinnya.

Bot menyusuri kuala, memecah sunyi pagi. Air laut menghempas tepian bot. Kekadang terumbang ambing bila dipukul ombak pagi. Angin sejuk kuala menyapa pipi, sejuk yang sangat mendamaikan.

Indah sekali bila melihat mentari mengikut putarannya terbit menerangi alam. Ciptaan Maha Besar ini sangat mengasyikkan dan deruan bot terus membelah ombak ke destinasi.

Bersambung...

Read more...

Mama Nak Tahu Tak? [Sambungan]

Tuesday, December 16, 2008

Cerpen sebelumya bukanlah untuk disambung [Rujuk cerita sebelum]. Tapi sekadar prolog untuk bicara hari ni. Sebenarnya hari ni nak berbicara tentang tarbiah budak-budak atau lebih tepat anak-nak.

Bila dah berkecimpung dalam dunia kanak-kanak, saya lebih suka bercakap tentang kanak-kanak dan budak sekolah. Kadang selalu bagi motivasi kat parent dan budak sekolah, jadi pemahaman tentang pendidikan amat penting bagi saya. Lagipun saya ada lebih satu team anak saudara lelaki. Walaupun belum berpengalaman jaga budak, saya cuba menyelaminya InsyaAllah.

Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya

Saya mulakan dengan hadis Baginda saw yang diriwayatkan oleh Al-Tabari dengan katanya;

مَثَلُ الَّذِيْ يَتَعَلَّمُ الْعِلْمَ فِيْ صِغَرِهِ كَالنَقْشِ عَلَى الْحَجَرِ
وَمَثَلُ الَّذِيْ يَتَعَلَّمُ العِلْمَ فِي كِبَرِهِ كَالَّذِيْ يَكْتُبُ عَلَى الْمَاء

Maksudnya :
“Perumpamaan Orang Yang Belajar Semasa Usia Kecil Samalah Seperti Seseorang Memahat Di Atas Batu,manakala Perumpamaan Orang Yang Belajar Semasa Usia Tua Samalah Seperti Menulis Di Atas Air “.

Berdasarkan hadith tersebut, Apa yang dapat difahami?

Sebenarnya Nabi saw memberi perumpamaan tentang satu acuan yang hendak di buat. Walau tidak dilihat dari sudut pentafsiran, kita dapat memahami terus dari sudut perkataan demi perkataan atau harfiyyah. Sama ada memilih untuk mendapat hasil yang sangat lumayan untuk masa depan ataupun hanya perbuatan yang sia-sia seperti menulis di atas air. Perumpamaan ini sebenarnya satu saranan untuk memulakan tarbiah anak sewaktu kecil lagi. Malah dimulakan di dalam rahim kandungan ibu lagi.

Kita mengetahui bahawa anak adalah seperti kain putih, yang hanya menunggu ibubapanya untuk mewarnai dengan sebaik-baik warna. Terpulang bagaimana bentuk acuan yang hendak dilakukan.

Tapi perlu diingat, Allah yang menentukan segalanya. Jauhi lidah kita dari terus mengeji jika melihat seseorang yang buruk perangainya. Apa salahnya kita doakan mereka mendapat petunjuk dari Allah. Dengan sebab itu kita disarankan untuk berusaha dari awal dan bertawakal kepada Nya .

Bermula dari kecil

Pepatah melayu ada mengatakan “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Pepatah ini amat tepat sekali apabila melihat suasana kehidupan masyarakat kita di waktu dulu. Tapi sayangnya keserian lenturan dari rumah sudah tidak dijiwai oleh institusi kekeluargaan mutakhir ini. Kita dengar dan melihat bagaimana suasana ini hampir runtuh apabila kepentingan keluarga kepada kesenangan duniawi.

Perkara wajib dan yang baik perlu dilatih sewaktu kecil. Solat, puasa dan membaca al-Quran perlu dimulakan lebih awal. Elakkan dari terjerat dengan kata-kata harapan yang pudar seperti “Biarlah, anak kecil Lagi”, “Buat apa susah, nanti bila besar dia pandai lah buat sendiri”.

Ini adalah sebahagian kata-kata orang di zaman sekarang yang memberikan keyakinan seperti di atas kepada anaknya dalam pendidikan di rumah. Memberi keyakinan untuk masa depan yang positif adalah baik, tetapi berapa peratus keyakinan tadi dapat dikekalkan apabila anak tersebut sudah seusia buluh?

Kita semua maklum, apabila rebun sudah menjadi buluh, maka lenturan menjadi semakin kuat dan sukar. Apabila buluh sudah menjadi kuat dan semakin sukar, sudah pasti akan berkoncang. Apabila semakin digoncang pula, munkin akan patah. Apabila patah, buluh sudah hilang kualitinya.

Begitu juga dengan institusi kekeluargaan ini. Anak yang ditantang seperti minyak yang penuh semestinya diharapkan akan menunjukkan tingkah yang lebih baik apabila besar. Sejuk perut ibu mengandung jika anak menjadi seorang yang baik pekertinya. Tetapi malang jika anak tersebut terbuai dengan keindahan dunia yang akan terjebak ke arah kebinasaan.

Ibubapa memberi respon yang baik kepada anak

Respon yang baik amat memberi kesan kepada anak. Sebagai contoh cerpen pendek di atas tadi menggambarkan bagaimana ibu yang terus memberi dorongan kepada anak untuk terus berfikir dan mengembangkan pengetahuan yang telah dipelajari di sekolah.

Guru di sekolah hanya bertindak sebagai fasilitator, tetapi perancang utamanya adalah ibu bapa. Galakkan anak untuk berinteraksi, bercerita pengalaman menarik, memberi peluang untuk anak menyampaikan emosi diri dan berterima kasih kepada anak sekiranya perlu. Teguran membina jangan dilupakan, elakkan menghina dan merendahkan mereka.

Sebagai seorang pendidik, saya belajar memahami tingkah laku ini. Sebagai contoh, anak yang cerdas akan berinteraksi dengan baik dan memberik informasi kepada ibubapa dengan berkesan. Berbeza dengan pelajar yang kurang mendapat perhatian. Kadang-kadang surat makluman dari sekolah pun tidak diketahui oleh ibu bapa. Kenapa?

Jawapannya kurang perhatian!

Menujukkan tauladan yang baik

Tauladan adalah refleksi kepada hati individu. Hati yang baik akan menggambarkan tauladan yang baik. Oleh sebab itu Islam menekankan tentang niat yang baik. Segala yang berlaku adalah diasaskan oleh niat.

Justeru itu hati yang baik akan mewujudkan tauladan yang sangat berkesan. Sebagai contoh, seorang anak melihat ayahnya mencium pipi datuk dan nenek apabila berjumpa akan memahami perlakuan tersebut. Ini dinamakan sebagi tauladan yang baik. Si anak tadi akan tidak keberatan untuk melakukan perkara yang sama terhadap datuk dan nenek malah ayahnya sendiri apabila sampai masanya. Malah munkin hati kecilnya sudah mampu untuk melakukan di usia kecil lagi.

Begitu juga dengan tauladan yang tidak baik. Saya bawakan satu contoh; Seorang ayah yang bersembahyang hanya memakai baju singlet dan kain pelekat sebenarnya akan menunjukkan tauladan yang tidak baik. Cuba bayangkan apabila berhadapan dengan Allah swt hanya memakai pakaian sedemikian. Yang pelik apabila berhadapan dengan manusia mengikut formaliti yang ditetapkan.

Imam Al-Ghazali berkata;

كََيْفَ يَسْـتـَقِيمُ الظـِّلُّ إذاَ لـَمْ يَسْتـَقِمِ الـْعُودُ

Terjemahannya: “Bagaimana Mungkin Bayang Menjadi Betul, Sedangkan Kayu Bengkang Bengkok”.

Ingat, kalau dah tauladan tidak boleh dijadikan contoh. Sampai masanya nanti anaknya akan memberikan alasan untuk meringankan adab dengan Allah disebabkan perbuatan ayahnya tadi. Walaupun ibubapa melakukan perkara yang disuruh oleh Agama, tetapi perlu diberi perhatian adalah setiap yang dilakukan oleh ibubapa adalah mesti tepat dan akan menjadi refleksi kepada anak untuk melakukan sesuatu. Apa yang dilakukan secara keseluruhannya akan kembali kepada dirinya.

Firman Allah swt dalam Surah Al-Fussilat ayat 46 ada menyebut:

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا فَلِنَفْسِهِ وَمَنْ أَسَآءَ فَعَلَيْهَا وَمَا رَبُّكَ بِظَلاَّمٍ لِّلْعَبِيْدِ

Maksudnya :
“sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri.Dan tuhanmu tidak sesekali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.

Kesimpulan

Pendidikan yang bermula dari rumah dengan kesinambungan tauladan ibubapa akan memberi kesan kepada Islam Keseluruhannya. Allah swt telah menegaskan tentang satu umat yang di berikan darjat sekiranya mereka mengikut lunas-lunas yang disarankan oleh agama. Justeru dengan tarbiah yang disulam erat akan mengembalikan generasi umah terbaik.
Akhirnya, renunglah janji Allah swt dalam surah An-Nur Ayat 55 ini;

وَعَدَ اللهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُم فِي الأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لاَ يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya,
“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang semakin kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa. Dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam), yang telah diredhainya untuk mereka, dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan dari ancaman musuh, mereka terus beribadat ku dengan tidak mempersekutu dengan sesuatu yang lain denganKu dan ingatlah sesiapa yang kufur ingkar selepas itu maka mereka itulah orang-orang yang derhaka”.

[Artikel ini adalah hak milik intelek nassrullah.blogspot.com]

Read more...

Mama Nak Tahu Tak?

Monday, December 15, 2008

Gambar hiasan [www.flikr.com]
Klik gambar untuk besarkan & muat turun
“Mama, tahu tak, tadi kat sekolah Ustaz kata kalau kita rasa nak buat baik. Pun dapat pahala tau! Mama tahu tak?” kata si anak kepada ibunya sambil merangkul tangan ibunya.

“Iya, ustaz kata apa lagi?” Ibunya bertanya lembut. Tanda ingin mendengar anak perempuannya terus bercerita. Suara ibunya ada sedikit nada bangga.

“Ustaz kata kan, kalau kita rasa nak buat baik kan, tapi tiba-tiba tak jadi nak buat kan. Pun dapat pahala tau!”. Terang si anak dengan sungguh-sungguh sambil menarik-narik tangan si ibu.

“Mmm, lagi?” Sambung si ibu untuk mencungkil.

“Tapi Ustaz kata kan, kalau kita rasa nak buat baik kan, dan kalau kita buat kan, lagi dapat banyak pahala… Tapi…”

“Tapi kenapa?”

“Mmm, tapi takpe lah” Si anak menuntut perhatian si ibu untuk bertanya lagi.

“Cakap la, mama nak tahu. Tapi apa?” Ibu memujuk lembut

“Mmm, sebenarnya Husna rasa nak buat baik macam ustaz kata tadi. Husna rasa nak belikan mama aiskrin, tapi… Tapi Husna tak cukup duit”. Husna berhenti seketika.

Aiskrim tu harga seringgit”. Si anak berkata sambil menunjukkan sekeping duit 50 sen dan sekeping duit 20 sen pada ibunya. Dia ingin sekali ingin berbuat sesuatu untuk ibunya. Munkin di sekolah tadi Ustaz memberi contoh begitu.

“Husna nak beli aiskrim untuk mama?” tanya si ibu. Ketika itu, matanya berkaca. Si ibu tahu anaknya bersungguh-sungguh untuk belikannya aiskrim. Husna tidak pernah berbuat begitu. Husna ingin pahala…

“Mmm, nak beli untuk mama. Tapi tak dapat”. jawab si anak dengan nada kesal. Kepalanya tunduk dan mengempal duit tujuh puluh sen tadi.

Ibunya tidak menjawab, tapi dirangkulnya anak perempuannya dalam pelukan erat. Tidak disangka anak perempuan yang berumur tujuh tahun ini mampu untuk membuatkan dirinya sebak. Si ibu tahu, anaknya faham apa yang dipelajari di sekolah tadi. Dia bangga…
Nak baca lagi?

[Cerpen pendek adalah Hak Intelek nassrullah.blogspot.com]

Read more...

MERENUNG PADA DIRI

Thursday, November 27, 2008

Bab Dua

Setiap yang hidup pasti dijanjikan sesuatu untuknya. Rizeki dari pencipta untuk yang dicipta. Sedikit untuk disyukuri, yang lebih untuk dikongsi. Bukan yang diperolehi untuk dicemari. Dia akan memberi ganti kepada siapa yang meyakini. Bukan ditagih dari tangan memberi.

Indah ciptaanNya, pasti terpesona siapa sahaja. Hanya yang lupa akan meninggalkanNya. Sudah berlalu usia munkin baru mencariNya. Adakah tahu bila Izrail menjelma?

Kita bukan terlupa, tetapi sayang kadang-kadang alpa menggila. Menangisi silap bila terperangkap, ketawa berdekah seolah tiada noktah. Hmmm, Sayang jika tidak sempat untuk mengingati pencipta.

Yang indah kadang-kadang mengasyikkan, yang hebat kadang-kadang diagungkan. Sehingga lupa siapa yang memberikan keagungan. Pasti sang hitam akan puas dengan senyuman. Kerana anak adam sudah hilang pedoman.

Hari demi hari berlalu, di manakah kita?

Read more...

LANGKAH PERTAMA, dan SETERUSNYA

Monday, October 20, 2008

Bermula

(Cerita dulu-dulu...)


Dingin angin pagi menyapa pipi, tiupan laut cina selatan meresap lembut. Seawal begini mencari erti hidup dan kaki sudah menapak, sekali melangkah jalan murni ini aku tidak akan berpaling lagi. Di sinilah akan bermula episod baru dalam kehidupan. Bergelar seorang pendidik seperti lilin yang sanggup membakar diri untuk orang lain.

"Selamat datang Ustaz". Sapa satu suara dari arah dalam pejabat bilik guru.

Aku mengangkat muka dan mencari dari mana arah suara tersebut. Aku dapati suara itu dari hujung dan disitu terdapat dua lelaki yang sedang berbincang.

Kaki melangkah dengan seribu pertanyaan. Murni hanya mengekori dan waktu itu aku merasakan seolah-olah semua mata kakitangan lain tepat kearah kami berdua. Seram juga!

"Ini Ustaz Nassru dan ini Ustazah Murni" Hj. Kipli, Guru Besar SK. Sayed Othman memperkenalkan kepada seorang yang bercermin mata.

"Ini Cikgu Zaini, Guru penolong Kanan Kokurikulum sekolah kita" Kami semua berjabat tangan tanda perkenalan.

Seterusnya

"Selamat pagi Ustaz". Seorang pelajar bukan islam menyapa aku buat kali pertama. Aku menoleh dan membalas selamat pagi juga. Satu pengalaman baru. Seorang pendidik mestilah adil dengan pelajarnya. Itulah yang telah dipelajari sewaktu dua minggu berada dalam minggu pengurusan di Maktab Perguruan Sarawak, Miri.

Diwaktu ini terbayang wajah Ustazah Dearana dan Umi, mereka berdua memberi nasihat yang cukup membina.

"Umi nak anak-anak semua adil pada pelajar, kalau dulu belajar agama tanpa ada pelajar bukan Islam dan sekarang tunjukkan bahawa kita cukup adil untuk semua. Usah fakir siapa yang kita jumpa".


Nasihat yang membuatkan seperti seorang ibu di kampung.

"Em, apa khabar mak dan ayah di kampung ya?".

Hati kecil tertanya. Malam ni mesti call.

Ustaz sik faham!

"Ustaz, pa di polah?". Seorang pelajar tahun satu menegur sewaktu aku sedang asyik menulis.

"Apa dia?". Aku inginkan kepastian termasuk muka berkerut.

"Pa di polah Ustaz?" Ulangnya dengan struktur yang berbeza, lagi pening dibuatnya!.

"Apa?". Tanyaku lagi.

"Pa di polah ya?". Tambah satu perkataan lagi lah pulak!

"Maaf, Ustaz sik faham". Itu sahaja yang mampu aku jawab, dan perkataan sik adalah perkataan pertama aku di bumi Miri ini!

Dengan pengalaman itu aku bertekad dalam masa dua bulan, aku mesti belajar untuk bercakap atau klaka Sarawak. Kini, baru aku faham dalam pendidikan kita tidak boleh mengharapkan seorang pelajar sekecil tujuh tahun untuk faham setiap apa yang kita katakan tetapi, kita mesti cuba dan wajib memahami mereka. Dengan ini akan berhasillah pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang berkesan klak.

Takut

"Ustaz, ustaz dikehendaki ke bilik guru. Terdapat seorang pelajr yang cedera, dan dia mendakwa kejadian berlaku semasa waktu ustaz". Datang Ustazah Wan dengan termengah-mengah.

"Pelajar cedera?" soal aku dengan wajah pucat.

Aku bergegas bersama Ustazah Murni, ini kerana dalam P&P Model j-QAF kami akan bersama dalam satu kelas mengajar murid-murid.

"Nya nang nendang anak kamek Cikgu!" dakwa ayah pelajar terbabit dengan suara yang mampu menggegarkan sebuah bilik guru.

Didapati antara Fairuz dan Fikri yang dituduh. Fairuz sudah mula menangis pada waktu itu. Sekali sekala menyeka mata dengan lengan baju yang sudah tidak bewarna putih lagi.

"Abang, mun abang padah camya ngan sik da penjelasan, camne mauk kita selesaikan?" Tanya Cikgu Bahari dengan nada yang lembut. Sesuai tugasnya sebagai seorang kaunselor di sekolah kami.

"Sekarang cikgu mauk nanya, yang mana satu tendang perut kitak?" soal cikgu Bahari kepada Amin, dia mesti dapatkan kepastian.

Amin diam membisu.

"Nya tendang perut kitak kah?" Tunding ayahnya si Amin ke arah Fikri.

"Auk". Jawab Amin diselangi dengan anggukkan setuju.

"Nya tendang perut kitak kah?". Soal cikgu Bahari dengan menunding kepada Fairuz.

Amin juga mengangguk!

Amin hanya diam membisu dan tiba-tiba Cikgu Su datang.

"Oh, inilah pelajar yang selalu menipu sakit perut!" kata cikgu Su.

"Tambah pula satu lagi kes untuk budak ni". Bisik hatiku.

Saya menerangkan bahawa dalam P&P saya tiada sorang pun pelajar yang menagis melainkan Fadzlie dan Noraisyah. Keduanya akan menagis walau tidak dimarahi, dan ini juga dipersetujui oleh Ustazah Murni. Setelah hampir setengah jam perbincangan dan pertanyaan, mereka telah bersepakat dengan satu jawapan. Pelajar yang sakit itu hanya cuba untuk berbohong. Sebab utama tidak mahu datang ke sekolah kerana sudah hilang minat untuk belajar.

Moralnya seorang ayah tidak boleh mempercayai seratus peratus dengan dakwaan anaknya. Juga tidak boleh menidakkan peranan guru di sekolah.

Berlalu

Segalanya berjalan lancar yang akan menjadi titik tolak kepada perubahan dalam diri. Pengalaman yang tidak dapat dijual beli dan hanya Allah akan dapat membalasnya. Hidup mesti terus dan amanah ini akan terus dijulang.


Semoga hari akan terus berlalu, dengan penuh rahmat dariNya...

Read more...

  © Blogger template Foam by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP