Satu Perjalanan, Seluruh Ingatan…
Friday, February 27, 2009
Bab Dua
"Sebenarnya anak-anak berhutang dengan mak ayah mereka" kata seorang tua sewaktu berhenti minum melepas lelah di belakang bot.
Suasana sepi seketika walaupun deruan enjin bot memencah bunyi.
Dia terkedu bila mendengar kata-kata tersebut. Masa tu buat pertama kalinya dia mengikut ayahnya ke laut. Sepanjang hidupnya, itulah pertama kali ayah ajak ke laut. Ayah tak pernah membenarkan dia mengikutnya. Walaupun sekali!
Jawapannya hanya satu, "Tak boleh, duduk rumah dan baca buku!".
Hatinya selalu bertanya, kenapa tak pernah diajak ya?
"Anak-anak dari kecil hingga besar akan tetap berhutang"
Sambung seorang tua yang duduk bersamanya dengan nada seperti mengeluh sesuatu.
"Awang belajar lagi?" Tanya Pak Tua kepadanya dengan panggilan awang. Bagi orang pantai timur, Awang adalah panggilan timangan bagi budak lelaki.
"Emm, ya belajar lagi". Jawabnya pendek.
"Kat mana, tahun berapa dah?" Tanya Pak Tua penuh minat.
"Kat UIA, tahun dua".
Matanya tidak berkelip menjawab soalan si tua. Masa tu ayahnya sibuk di depan bot memerhatikan munkin masa sesuai untuk turunkan pukat. Sekarang musim ikan bilis. Pukat cerut digunakan untuk musim ni. Beberapa kali pukat akan diturunkan.
Pengalaman pertama tadi, letih sangat bila naikkan pukat. Ada keluhan di hatinya.
"Anak-anak berhutang susu dengan ibunya, berhutang peluh dengan ayahnya"
Pak Tua berkata lagi dengan penuh kesal sambil menghembuskan rokok daun yang digulung tadi. Mulutnya terkumat-kamit sambil rokok daun itu diketatkan di bibir mulut. Pipinya yang sedikit kempis menandakan giginya yang luruh dimakan usia".
"Kenapa pulak nak berhutang pulak Pak Cik". Dia memberanikan diri dengan bertanya.
Sambil menggaru janggutnya yang putih itu, Pak Tua menjawab "Masa anak masih kecil, ibu menyusukan dengan penuh kesungguhan. Tak kan lapar anak. Ayah mencari rizeki untuk mereka dengan keringat tulang empat kerat. Sampai masanya mereka patut membalas balik pengorbanan tersebut". Pak Tua berhenti seketika sambil menghembuskan asap rokoknya.
Suasana terus sepi…
Tapi budak-budak sekarang sekolah pun tak mahu. Kerja pun tak mahu. Tapi duit yang diminta. Bukan nak tolong apa yang patut". Pak Tua menyambung dengan nada kesal terus diungkap.
Dia terus terdiam untuk mencari jawapan pada kata-kata kesalan itu…
"Awang belajar baik-baik, biar berjaya. Ada peluang, jangan main-main, biar bersungguh!" Itu kata-kata terakhir Pak Tua, terus bangun dan pergi meneruskan kerja. Dia ditinggalkan dengan seribu tanda tanya.
Dia bermonolog sendirian, mencari jawapan…
Dia terfikir bila kata-kata si tua tadi menerjah minda. Rasa terpukul dan tersentak. Adakah kita berhutang? Bukankah menyusu dan mencari rizeki itu wajib? Kenapa perlu di bayar oleh kita? Kalau dapat dibayar, tapi berapa?
Bersambung...
0 comments:
Post a Comment