Mama Nak Tahu Tak? [Sambungan]

Tuesday, December 16, 2008

Cerpen sebelumya bukanlah untuk disambung [Rujuk cerita sebelum]. Tapi sekadar prolog untuk bicara hari ni. Sebenarnya hari ni nak berbicara tentang tarbiah budak-budak atau lebih tepat anak-nak.

Bila dah berkecimpung dalam dunia kanak-kanak, saya lebih suka bercakap tentang kanak-kanak dan budak sekolah. Kadang selalu bagi motivasi kat parent dan budak sekolah, jadi pemahaman tentang pendidikan amat penting bagi saya. Lagipun saya ada lebih satu team anak saudara lelaki. Walaupun belum berpengalaman jaga budak, saya cuba menyelaminya InsyaAllah.

Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya

Saya mulakan dengan hadis Baginda saw yang diriwayatkan oleh Al-Tabari dengan katanya;

مَثَلُ الَّذِيْ يَتَعَلَّمُ الْعِلْمَ فِيْ صِغَرِهِ كَالنَقْشِ عَلَى الْحَجَرِ
وَمَثَلُ الَّذِيْ يَتَعَلَّمُ العِلْمَ فِي كِبَرِهِ كَالَّذِيْ يَكْتُبُ عَلَى الْمَاء

Maksudnya :
“Perumpamaan Orang Yang Belajar Semasa Usia Kecil Samalah Seperti Seseorang Memahat Di Atas Batu,manakala Perumpamaan Orang Yang Belajar Semasa Usia Tua Samalah Seperti Menulis Di Atas Air “.

Berdasarkan hadith tersebut, Apa yang dapat difahami?

Sebenarnya Nabi saw memberi perumpamaan tentang satu acuan yang hendak di buat. Walau tidak dilihat dari sudut pentafsiran, kita dapat memahami terus dari sudut perkataan demi perkataan atau harfiyyah. Sama ada memilih untuk mendapat hasil yang sangat lumayan untuk masa depan ataupun hanya perbuatan yang sia-sia seperti menulis di atas air. Perumpamaan ini sebenarnya satu saranan untuk memulakan tarbiah anak sewaktu kecil lagi. Malah dimulakan di dalam rahim kandungan ibu lagi.

Kita mengetahui bahawa anak adalah seperti kain putih, yang hanya menunggu ibubapanya untuk mewarnai dengan sebaik-baik warna. Terpulang bagaimana bentuk acuan yang hendak dilakukan.

Tapi perlu diingat, Allah yang menentukan segalanya. Jauhi lidah kita dari terus mengeji jika melihat seseorang yang buruk perangainya. Apa salahnya kita doakan mereka mendapat petunjuk dari Allah. Dengan sebab itu kita disarankan untuk berusaha dari awal dan bertawakal kepada Nya .

Bermula dari kecil

Pepatah melayu ada mengatakan “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Pepatah ini amat tepat sekali apabila melihat suasana kehidupan masyarakat kita di waktu dulu. Tapi sayangnya keserian lenturan dari rumah sudah tidak dijiwai oleh institusi kekeluargaan mutakhir ini. Kita dengar dan melihat bagaimana suasana ini hampir runtuh apabila kepentingan keluarga kepada kesenangan duniawi.

Perkara wajib dan yang baik perlu dilatih sewaktu kecil. Solat, puasa dan membaca al-Quran perlu dimulakan lebih awal. Elakkan dari terjerat dengan kata-kata harapan yang pudar seperti “Biarlah, anak kecil Lagi”, “Buat apa susah, nanti bila besar dia pandai lah buat sendiri”.

Ini adalah sebahagian kata-kata orang di zaman sekarang yang memberikan keyakinan seperti di atas kepada anaknya dalam pendidikan di rumah. Memberi keyakinan untuk masa depan yang positif adalah baik, tetapi berapa peratus keyakinan tadi dapat dikekalkan apabila anak tersebut sudah seusia buluh?

Kita semua maklum, apabila rebun sudah menjadi buluh, maka lenturan menjadi semakin kuat dan sukar. Apabila buluh sudah menjadi kuat dan semakin sukar, sudah pasti akan berkoncang. Apabila semakin digoncang pula, munkin akan patah. Apabila patah, buluh sudah hilang kualitinya.

Begitu juga dengan institusi kekeluargaan ini. Anak yang ditantang seperti minyak yang penuh semestinya diharapkan akan menunjukkan tingkah yang lebih baik apabila besar. Sejuk perut ibu mengandung jika anak menjadi seorang yang baik pekertinya. Tetapi malang jika anak tersebut terbuai dengan keindahan dunia yang akan terjebak ke arah kebinasaan.

Ibubapa memberi respon yang baik kepada anak

Respon yang baik amat memberi kesan kepada anak. Sebagai contoh cerpen pendek di atas tadi menggambarkan bagaimana ibu yang terus memberi dorongan kepada anak untuk terus berfikir dan mengembangkan pengetahuan yang telah dipelajari di sekolah.

Guru di sekolah hanya bertindak sebagai fasilitator, tetapi perancang utamanya adalah ibu bapa. Galakkan anak untuk berinteraksi, bercerita pengalaman menarik, memberi peluang untuk anak menyampaikan emosi diri dan berterima kasih kepada anak sekiranya perlu. Teguran membina jangan dilupakan, elakkan menghina dan merendahkan mereka.

Sebagai seorang pendidik, saya belajar memahami tingkah laku ini. Sebagai contoh, anak yang cerdas akan berinteraksi dengan baik dan memberik informasi kepada ibubapa dengan berkesan. Berbeza dengan pelajar yang kurang mendapat perhatian. Kadang-kadang surat makluman dari sekolah pun tidak diketahui oleh ibu bapa. Kenapa?

Jawapannya kurang perhatian!

Menujukkan tauladan yang baik

Tauladan adalah refleksi kepada hati individu. Hati yang baik akan menggambarkan tauladan yang baik. Oleh sebab itu Islam menekankan tentang niat yang baik. Segala yang berlaku adalah diasaskan oleh niat.

Justeru itu hati yang baik akan mewujudkan tauladan yang sangat berkesan. Sebagai contoh, seorang anak melihat ayahnya mencium pipi datuk dan nenek apabila berjumpa akan memahami perlakuan tersebut. Ini dinamakan sebagi tauladan yang baik. Si anak tadi akan tidak keberatan untuk melakukan perkara yang sama terhadap datuk dan nenek malah ayahnya sendiri apabila sampai masanya. Malah munkin hati kecilnya sudah mampu untuk melakukan di usia kecil lagi.

Begitu juga dengan tauladan yang tidak baik. Saya bawakan satu contoh; Seorang ayah yang bersembahyang hanya memakai baju singlet dan kain pelekat sebenarnya akan menunjukkan tauladan yang tidak baik. Cuba bayangkan apabila berhadapan dengan Allah swt hanya memakai pakaian sedemikian. Yang pelik apabila berhadapan dengan manusia mengikut formaliti yang ditetapkan.

Imam Al-Ghazali berkata;

كََيْفَ يَسْـتـَقِيمُ الظـِّلُّ إذاَ لـَمْ يَسْتـَقِمِ الـْعُودُ

Terjemahannya: “Bagaimana Mungkin Bayang Menjadi Betul, Sedangkan Kayu Bengkang Bengkok”.

Ingat, kalau dah tauladan tidak boleh dijadikan contoh. Sampai masanya nanti anaknya akan memberikan alasan untuk meringankan adab dengan Allah disebabkan perbuatan ayahnya tadi. Walaupun ibubapa melakukan perkara yang disuruh oleh Agama, tetapi perlu diberi perhatian adalah setiap yang dilakukan oleh ibubapa adalah mesti tepat dan akan menjadi refleksi kepada anak untuk melakukan sesuatu. Apa yang dilakukan secara keseluruhannya akan kembali kepada dirinya.

Firman Allah swt dalam Surah Al-Fussilat ayat 46 ada menyebut:

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا فَلِنَفْسِهِ وَمَنْ أَسَآءَ فَعَلَيْهَا وَمَا رَبُّكَ بِظَلاَّمٍ لِّلْعَبِيْدِ

Maksudnya :
“sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri.Dan tuhanmu tidak sesekali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.

Kesimpulan

Pendidikan yang bermula dari rumah dengan kesinambungan tauladan ibubapa akan memberi kesan kepada Islam Keseluruhannya. Allah swt telah menegaskan tentang satu umat yang di berikan darjat sekiranya mereka mengikut lunas-lunas yang disarankan oleh agama. Justeru dengan tarbiah yang disulam erat akan mengembalikan generasi umah terbaik.
Akhirnya, renunglah janji Allah swt dalam surah An-Nur Ayat 55 ini;

وَعَدَ اللهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُم فِي الأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لاَ يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya,
“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang semakin kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa. Dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam), yang telah diredhainya untuk mereka, dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan dari ancaman musuh, mereka terus beribadat ku dengan tidak mempersekutu dengan sesuatu yang lain denganKu dan ingatlah sesiapa yang kufur ingkar selepas itu maka mereka itulah orang-orang yang derhaka”.

[Artikel ini adalah hak milik intelek nassrullah.blogspot.com]

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Foam by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP