LANGKAH PERTAMA, dan SETERUSNYA

Monday, October 20, 2008

Bermula

(Cerita dulu-dulu...)


Dingin angin pagi menyapa pipi, tiupan laut cina selatan meresap lembut. Seawal begini mencari erti hidup dan kaki sudah menapak, sekali melangkah jalan murni ini aku tidak akan berpaling lagi. Di sinilah akan bermula episod baru dalam kehidupan. Bergelar seorang pendidik seperti lilin yang sanggup membakar diri untuk orang lain.

"Selamat datang Ustaz". Sapa satu suara dari arah dalam pejabat bilik guru.

Aku mengangkat muka dan mencari dari mana arah suara tersebut. Aku dapati suara itu dari hujung dan disitu terdapat dua lelaki yang sedang berbincang.

Kaki melangkah dengan seribu pertanyaan. Murni hanya mengekori dan waktu itu aku merasakan seolah-olah semua mata kakitangan lain tepat kearah kami berdua. Seram juga!

"Ini Ustaz Nassru dan ini Ustazah Murni" Hj. Kipli, Guru Besar SK. Sayed Othman memperkenalkan kepada seorang yang bercermin mata.

"Ini Cikgu Zaini, Guru penolong Kanan Kokurikulum sekolah kita" Kami semua berjabat tangan tanda perkenalan.

Seterusnya

"Selamat pagi Ustaz". Seorang pelajar bukan islam menyapa aku buat kali pertama. Aku menoleh dan membalas selamat pagi juga. Satu pengalaman baru. Seorang pendidik mestilah adil dengan pelajarnya. Itulah yang telah dipelajari sewaktu dua minggu berada dalam minggu pengurusan di Maktab Perguruan Sarawak, Miri.

Diwaktu ini terbayang wajah Ustazah Dearana dan Umi, mereka berdua memberi nasihat yang cukup membina.

"Umi nak anak-anak semua adil pada pelajar, kalau dulu belajar agama tanpa ada pelajar bukan Islam dan sekarang tunjukkan bahawa kita cukup adil untuk semua. Usah fakir siapa yang kita jumpa".


Nasihat yang membuatkan seperti seorang ibu di kampung.

"Em, apa khabar mak dan ayah di kampung ya?".

Hati kecil tertanya. Malam ni mesti call.

Ustaz sik faham!

"Ustaz, pa di polah?". Seorang pelajar tahun satu menegur sewaktu aku sedang asyik menulis.

"Apa dia?". Aku inginkan kepastian termasuk muka berkerut.

"Pa di polah Ustaz?" Ulangnya dengan struktur yang berbeza, lagi pening dibuatnya!.

"Apa?". Tanyaku lagi.

"Pa di polah ya?". Tambah satu perkataan lagi lah pulak!

"Maaf, Ustaz sik faham". Itu sahaja yang mampu aku jawab, dan perkataan sik adalah perkataan pertama aku di bumi Miri ini!

Dengan pengalaman itu aku bertekad dalam masa dua bulan, aku mesti belajar untuk bercakap atau klaka Sarawak. Kini, baru aku faham dalam pendidikan kita tidak boleh mengharapkan seorang pelajar sekecil tujuh tahun untuk faham setiap apa yang kita katakan tetapi, kita mesti cuba dan wajib memahami mereka. Dengan ini akan berhasillah pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang berkesan klak.

Takut

"Ustaz, ustaz dikehendaki ke bilik guru. Terdapat seorang pelajr yang cedera, dan dia mendakwa kejadian berlaku semasa waktu ustaz". Datang Ustazah Wan dengan termengah-mengah.

"Pelajar cedera?" soal aku dengan wajah pucat.

Aku bergegas bersama Ustazah Murni, ini kerana dalam P&P Model j-QAF kami akan bersama dalam satu kelas mengajar murid-murid.

"Nya nang nendang anak kamek Cikgu!" dakwa ayah pelajar terbabit dengan suara yang mampu menggegarkan sebuah bilik guru.

Didapati antara Fairuz dan Fikri yang dituduh. Fairuz sudah mula menangis pada waktu itu. Sekali sekala menyeka mata dengan lengan baju yang sudah tidak bewarna putih lagi.

"Abang, mun abang padah camya ngan sik da penjelasan, camne mauk kita selesaikan?" Tanya Cikgu Bahari dengan nada yang lembut. Sesuai tugasnya sebagai seorang kaunselor di sekolah kami.

"Sekarang cikgu mauk nanya, yang mana satu tendang perut kitak?" soal cikgu Bahari kepada Amin, dia mesti dapatkan kepastian.

Amin diam membisu.

"Nya tendang perut kitak kah?" Tunding ayahnya si Amin ke arah Fikri.

"Auk". Jawab Amin diselangi dengan anggukkan setuju.

"Nya tendang perut kitak kah?". Soal cikgu Bahari dengan menunding kepada Fairuz.

Amin juga mengangguk!

Amin hanya diam membisu dan tiba-tiba Cikgu Su datang.

"Oh, inilah pelajar yang selalu menipu sakit perut!" kata cikgu Su.

"Tambah pula satu lagi kes untuk budak ni". Bisik hatiku.

Saya menerangkan bahawa dalam P&P saya tiada sorang pun pelajar yang menagis melainkan Fadzlie dan Noraisyah. Keduanya akan menagis walau tidak dimarahi, dan ini juga dipersetujui oleh Ustazah Murni. Setelah hampir setengah jam perbincangan dan pertanyaan, mereka telah bersepakat dengan satu jawapan. Pelajar yang sakit itu hanya cuba untuk berbohong. Sebab utama tidak mahu datang ke sekolah kerana sudah hilang minat untuk belajar.

Moralnya seorang ayah tidak boleh mempercayai seratus peratus dengan dakwaan anaknya. Juga tidak boleh menidakkan peranan guru di sekolah.

Berlalu

Segalanya berjalan lancar yang akan menjadi titik tolak kepada perubahan dalam diri. Pengalaman yang tidak dapat dijual beli dan hanya Allah akan dapat membalasnya. Hidup mesti terus dan amanah ini akan terus dijulang.


Semoga hari akan terus berlalu, dengan penuh rahmat dariNya...

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Foam by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP