..:: Pengalaman Menggamit Rindu ::..

Sunday, April 12, 2009




"Encik dah mendaftar?" Seorang lelaki menyapa ketika kaki melangkah ke Dewan Masjid.

"Belum" Saya menjawab ringkas.

Lelaki tadi datang membawa helaian kertas pendaftaran. Tercatat senarai kehadiran bagi Kursus Haji Bersiri. Saya hanya memerhatikan kertas yang dibawa. Lelaki tadi komited dengan tugas keurusetiaan.

Tiba-tiba saya terus disapa.

"Alhamdulillah, Ustaz dah datang"

Beberapa orang yang lain datang dan menghulurkan tangan bersalaman. Saya masih memegang kertas kehadiran tadi, dan Urusetia tadi masih memerhatikan saya.

Seorang pegawai yang lain dengan segera memberitahu Urusetia tadi apabila beliau melihat saya memegang kertas kehadiran.

"Tok kita mpun penceramah Haji [Inilah penceramah Haji kita]" Ujar En Hasni, seorang Urusetia yang sedia kenal menganali. Urusetia tadi tiba-tiba tersenyum, dan saya juga tersenyum.

Saya tidak menyalahkan Urusetia tadi, lagipun saya memang tidak bercadang untuk diberikan sambutan yang hebat ketika datang. Cukuplah dengan kedatangan yang dapat membantu bakal-bakal haji pada tahun ini. Saya berbesar hati dapat bersama dengan bakal haji yang mengikuti Kursus Haji Bersiri [KHB] pada tahun ini.

Saya diberi amanah untuk menyampaikan Dua Slot, iaitu ADAB SEBELUM KE TANAH SUCI dan PENGENALAN TANAH SUCI. Bagi saya ini adalah pengalaman yang sangat besar. Peluang ini tidak akan saya lepas begitu sahaja, cuba bayangkan jika ilmu yang disampaikan akan membawa jemaah haji ke arah haji yang Mabrur...

Saya sebenarnya belum menyempurnakan haji, tetapi kenapa saya diberi peluang menyampaikan Ceramah Haji?

Sebenarnya begini, ketika di alam Menara Gading, saya telah terpilih untuk melawat sambil belajar ke Arab Saudi dan dalam waktu yang sama menunaikan Umrah di sana. Saya masih ingat dan tercatat di dalam Visa bertarikh 7 Jun 2002. Satu peluang yang bukan mudah untuk diperolehi. Menyusuri laluan ke Bukit Thur, melalui gunung-ganang sebelum sampai ke Thaif tempat Baginda saw pernah dilontar bati sehingga berdarah. Universiti Ummul Qura dilawati dan tidak terkecuali beberapa ketika di Multazam. Hebat kenangan tersebut. Dengan berkat usaha penganjur, kami berjaya merialisasikan harapan untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Alhamdulillah, kami berjaya menunaikan Umrah dengan perasaan yang sangat syukur.

Jadi dengan pengalaman pernah bersedia untuk ke Tanah Suci, sudah pasti saya dapat menyampaikan pengalaman pesediaan sebelum ke tanah Suci. Alhamdulillah, walau belum mampu untuk menunaikan haji, namun Allah telah memberi peluang melihat keagungannya di Makkah Al-Mukarramah. Bukan setakat sampai, tetapi Allah bukakan peluang untuk saya bersama dengan bakal haji pula. Hebat rencana Allah...

Peserta kelihatan takut ketika saya bercakap tentang apa yang perlu diselesaikan sebelum menyempurnakan haji, saya bertanya, Tuan-tuan dan Puan-puan Takut?

Mereka kebanyakannya mengangguk... Kenapa ya?

Saya dengan nada berseloroh berkata "Ini mesti baca Mastika banyak sangat". Mereka ketawa apabila saya mengatakan demikian.

Sebenarnya begini, ada yang mahu ketanah suci, tetapi takut dengan bayang-bayang. Ada yang sudah mampu untuk ke sana, tetapi takut jika pulang masih ditakuk lama. Sudah bersedia untuk ke sana, tetapi masih sayang dengan dunia di sini yang masih belum selesai...

Pengalaman pada hari ini sangat memberikan makna, satu lambaian yang menggamit rindu pada Nya. Satu lafaz talbiah yang meruntun hati untuk ke sana. Laungan takbir yang berkumandang menggamit suasana shahdu tak kala Imam melafazkan Surah Al-Fatihah di dalam Masjid yang penuh dengan kemuliaan.

Ya Allah, permudahkan urusan hamba mu ini untuk menyahut seruan Mu...

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Foam by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP