Muhasabah Runtuhan Tanah Bukit Antarabangsa

Sunday, December 07, 2008

Klik gambar untuk besarkan. [Utusan.com.my]

Tanah air dikejutkan lagi dengan runtuhan tanah di Bukit Antarabangsa pada hari ini. Tanah cerun yang menjadi kebanggaan pemilik perumahan di tanah tinggi tersebut. Berita menunjukkan runtuhan yang dahsyat yang berlaku ketika musim hujan melanda tanah air.

Tidak dinafikan bahawa pihak berwajib telah membuat kajian tentang keadaan tanah cerun tersebut sebelum memberikan kebenaran kepada pemaju. Tetapi yang menjadi kerungsingan sebenarnya 5 hari sahaja lagi kita akan berada pada tarikh bencana yang berlaku sewaktu 15 tahun dahulu. 11 Disember yang menyaksikan runtuh sujudnya Highland Tower yang dibanggakan.

Adakah kita tidak berfikir tentang kejadian tersebut? Adakah kealpaan manusia sebenarnya penyebab trajedi ini berlaku lagi? Adakah perlu bencana yang lebih besar baru kita membuka mata untuk bertindak?

Ironinya runtuhan itu adalah satu pengajaran kepada umat manusia tentang apa yang berlaku adalah disebabkan kerakusan manusia.

Kaca TV menunjukkan berbagai pihak tampil dan memberi komen serta pandangan dan nasihat. Ada yang mengatakan ini adalah pergerakan alam. Ada pula yang mengatakan ini adalah satu kejadian disebabkan aliran air di bawah tanah. Tetapi berapa ramai yang mengatakan bahawa ini adalah ujian yang menunjukkan tanda-tanda kekuasaan pencipta?

Muhasabah ini perlu dilihat dari penyataan Allah di dalam surah Ar-Rum ayat 41 yang bermaksud;

Telah nampak kerusakan di darat dan laut disebabkan karena perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).

Keterangan ini cukup untuk memberikan keinsafan kepada kita semua. Sebenarnya kejadian ini menunjukkan tiada yang mustahil akan berlaku. Jangan disangka tanah yang lapang tidak dilanda bencana. Pada waktu itu segalanya akan menjadi tragedi yang sangat dahsyat. Fal’iyazu BilLah..

Ini sangat tepat dengan janji Allah yang telah menunjukkan bagaimana keadaan suatu golongan bila berlakunya gegaran tersebut. Runtuhan itu hanyalah setitik dari apa yang bakal berlaku nanti di hari pembalasan.

Allah berfirman di dalam Surah Al-Hajj dari ayat 1-2 yang bermaksud;

Hai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu; sesungguhnya kegoncangan hari kiamat itu adalah suatu kejadian yang sangat besar (dahsyat). (Ingatlah) pada hari (ketika) kamu melihat kegoncangan itu, lalailah semua wanita yang menyusui anaknya dari anak yang disusuinya dan gugurlah kandungan segala wanita yang hamil, dan kamu lihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk, akan tetapi azab Allah itu sangat kerasnya.

Semua rangkaian TV menujukkan ada keluarga yang meratap kepiluan menangisi pemergian orang tersayang yang menjadi mangsa runtuhan. Kepiluan yang menyayat hati. Berat mata yang memandang, berat lagi bahu mereka yang menanggung.

Kerugian sudah pasti menjerat, kerosakan yang tidak mampu untuk dibina semula. Sudah pasti dengan kehadiran para pemimpin akan memberikan semangat kepada mereka. Hikmahnya juga para pemimpin yang berbeza ideologi dan pendapat boleh seia dan sekata dalam menghadapi suasana ini. Lebih elok lagi jika kebersamaan itu dikekalkan demi untuk agama, bangsa dan negara.

Kesimpulannya, kita yang tidak pernah terfikir akan berlaku tragedi perlu bermuhasabah dengan setiap ujian dari Allah. Kita perlu melihat dengan mata hati dengan setiap kejadian yang melanda. Ingatlah, janji Allah itu pasti.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Foam by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP