Hijrah; Sangat Menguntungkan!

Sunday, December 28, 2008

Ahlan wa sahlan! Hijrah 1430 kembali menukarkan angka dan pengertian sebenarnya. Hijrah yang menuntut satu perubahan, satu langkah terkedepan yang boleh membawa kita ke arah yang lebih baik. Satu pergerakan demi survival umat mutakhir yang menuntut satu perubahan.

Mmm.. Tahun Baru Hijrah datang lagi. Apa azam baru tahun ni ya? Kenapa mesti ada azam baru plak? Azam lama macamna? Dah setle semua? Ni lah soalan-soalan yang tak mampu nak dijawab walau tanya diri sendiri. Tapi sebenarnya dalam hati tahu apa yang perlu dijawab.

Satu Kisah Hijrah Baginda

Teringat penulis satu kisah sewaktu sahabat Baginda s.a.w ingin berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah. Satu kisah pengajaran tentang tuntutan hijrah yang melangkau sempadan pemikiran dan pengorbanan manusia. Jom kita baca cerita yang dirujuk dari Kitab Ar-Rahiq Al-Makhtum, Karangan Safiyyu Al-Rahman Al-Mubarakfuri dalm Bab Permulaan Hijrah;

Ceritanya begini; apabila seorang sahabat nabi yang bernama Suhayb hendak berhijrah, orang-orang kafir Quraish berkata kepadanya;

“Dahulu kamu datang kepada kami sebagai seoang yang miskin hina. Kemudian kamu mendapat harta yang banyak dan mencapai kedudukan yang kamu nikmati sekarang. Kemudian kamu hendak keluar membawa harta dan jiwa kamu begitu sahaja? Ini tidak boleh!”.

Lalu Suhayb menjawab; “Apa pandangan kamu jika aku serahkan semua hartaku kepada kamu, maka adakah kamu akan lepaskan aku pergi?”.

Mereka menjawab; “Baiklah”.

Jawab Suhayb; “kalau begitu aku serahkan semua hartaku menjadi milik kamu”.

Berita ini sampai ke pengetahuan Rasulullah s.a.w lalu baginda bersabda; “Sungguh untung Suhayb, sungguh untung Suhayb”.

الرحيق المختوم، بحث في السيرة النبوية على صاحبها أفضل الصلاة والسلام
Satu Keuntungan

Nabi saw berkata, “Sungguh untung Suhayb, sungguh untung Suhayb”. Apabila kata-kata yang diulang, sudah pasti ia menunjukkan satu kesunggujhan. Bermakna berhijrah sangat menguntungkan! Untung dari segi apa? Sudah pasti keuntungan apabila menegakkan agama Allah setelah menyahut seruan untuk melakukan Hijrah. Ketika itu, Hijrah ke Madinah bukanlah satu permainan, tetapi merupakan satu taruhan nyawa yang tidak mengenal untung nasibnya.

Jika dihitung pada keuntungan, sudah pasti ia menjadi satu keputusan yang mengembirakan. Kalau orang berniaga, bila sebut pasal untung, sanggup lakukan apa sahaja dan kemana sahaja. Kenapa? Sebab keuntungan yang pasti membahagiakan hidupnya.

Kalau seseorang yang kurang bersungguh bekerja, dia berhijrah untuk lebih rajin. Untungnya akan mendapat satu mekanisma kerja yang lebih baik. Jika seseorang penuntut umpamanya, berhijrah ke arah yang lebih positif dalam menguasai pembelajaran, sudah pasti untungnya akan menaikkan CGPA. Ini adalah beberapa contoh tentang keuntungan yang berbentuk subjektif bagi kita untuk meneruskan hidup yang sentiasa mencabar.

Sukar untuk bercakap tentang Hijrah yang dituntut. Ini disebabkan perlu ada contoh yang terbaik dari diri penulis dahulu sebelum memberikan cadangan dan tunjuk ajar. Penulis tidak mahu menjadi “ketam yang mengajar anaknya berjalan betul”. Tetapi penulis mahu menjadi “begitulah acuan, begitulah kuihnya”.Tetapi difikirkan kembali apa salahnya berkata sesuatu dan dalam waktu yang sama, cuba untuk mengubah diri ke arah yang lebih baik insyaAllah.

Bersempena Tahun Hijrah 1430, penulis berazam untuk melakukan yang lebih baik dari tahun sebelumya. Lebih bersungguh dalam bekerja dari tahun yang sebelumnya. Lebih bersabar dangan ujian yang pernah ditempuhi dari tahun sebelumnya, dan lebih bersyukur dengan nikmat yang telah diberkan oleh Nya.

Kepada saudara seISLAM sekelian, Selamat Tahun Baru 1430 Hijrah.

1 comments:

Anonymous,  December 29, 2008 1:06 PM  

Semoga tahun baru yang bakal dilalui LEBIH BAIK dari tahun lepas yang sudah menjadi sejarah.

Post a Comment

  © Blogger template Foam by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP