Ibadah Korban; Satu Perkiraan Mudah

Thursday, December 04, 2008

Aidil Adha kembali dipertemukan dengan perjalanan masa dan aturan sunnatuLlah. 10 zulhijjah yang ditunggu oleh orang-orang yang benar-benar mengharapkan redha Allah swt. Bagi tetamu Allah, di Makkah Al-Mukarramah, sudah pastinya malam sebelumnya ditunggu-tunggu dengan penuh keinsafan di arafah untuk berwukuf sebagai rukun menyempurnakan Haji.


Apabila saban tahun kita bertemu dengan hari-hari tasyrik yang disyariatkan ini, sudah pasti kita akan mengingati cerita bagaimana Nabi Ibrahim a.s menerima ujian untuk menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail a.s. cerita ini dinukilkan oleh Allah swt dalam firmanNya dalam Surah As-Sofaat Ayat 103-107 yang bermaksud;


Maksudnya: "Setelah keduanya berserah diri, dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah. Serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi itu. Demikianlah sebenarnya kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya nama yang harum dalam kalangan orang yang datang kemudian."


Cerita ini merupakan pengorbanan yang dilakukan demi untuk Allah swt. Berbeza dengan pensyariatan ini untuk kita. Korban kita bukan berupa nyawa tetapi korban dari kita adalah berupa wang, meterial ataupun sesuatu yang bernilai. Termasuklah juga masa yang diberikan kepada kita. Korban kita tidak perlu kepada pertumpahan darah, tidak perlu kepada meninggalkan nikmat yang diberikan. Tetapi berkorban sesuatu untuk menghayati tuntutan agama yang disyariatkan kepada kita.


Pelaburan

Korban yang dijalankan adalah pelaburan yang sudah pasti dijajanjikan balasan di akhrat nanti. Balasan berupa nikmat yang berpanjangan di tempat yang abadi. Keadaan ini sangat berbeza di zaman ini, manusia sangat melebihkan dan mementingkan pelaburan yang menjanjikan pulangan yang manarik. Lebih indah lagi jika ada yang bersungguh-sungguh untuk “Retire Rich”.

Tetapi perlu diingat pelaburan itu mestilah yang dibenarkan oleh Syariat. Yang Haram memang haram, malah yang samar-samar wajib ditinggalkan. Kaedah Fiqh menyatakan “Apa saja yang membawa kepada perbuatan haram, maka itu adalah haram”.


Pelaburan ukhrawi yang dijanjikan Allah kadang dipandang sepi dan berbagai alasan yang diberikan untuk menidakkan. Lebih menyedihkan melepas pandang pada tuntutan.

Hukum Korban

Merujuk takrifan firman Allah swt;
" Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu ( wahai muhammad ) kebaikan yang banyak ( di dunia dan di akhirat ) oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur) sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya )".
( Surah al-Kausar : 1-3 )


Berdasarkan kepada Firman Allah tersebut, jamhur ulama berpendapat bahawa hukumnya adalah sunat muakad iaitu sunat yang sangat dituntut. Tarafnya lebih tinggi daripada sunat biasa, manakala nilai pahalanya pula lebih besar. Dalam satu Hadis yang diriwayatkan dari Abi Hurairah katanya, Sabda Rasulullah s.a.w. :


Maksudnya : " barangsiapa yang mempunyai kelapangan ( mampu ) untuk berkorban tatapi tidak dilakukannya, maka janganlah dia datang mendekati tempat kami bersembahyang ini ".
( riwayat Ahmad dan Ibni Majah )


Justeru kepada yang mampu, jangan dilewatkan dan jangan dilengahkan. Dalam Bahasa Arab, jika disebut Muakkad, ini bermakna satu penekanan bagi memahami takrifan.


Sifir Mudah

Berbalik semula tentang pengorbanan dan pelaburan. Secara purata satu bahagian korban adalah sekitar RM370.00 atau lebih sedikit mengikut negeri. Munkin di Kedah RM365.00 dan munkin di Sarawak RM 400.00. Mahal atau murah?


Ada yang berkata, “Mahal sangat” ada juga berkata “ Belum cukup duit” Ada yang berkata juga “tunggu betul-betul ikhlas”. Hebat dengan jawapan tersebut.


Seronok bila dengar orang jawab “No problem, dah ada dalam bajet tahunan”. Kan sejuk bila dengar jawapan macam ni. Dah termaktub dalam bajet tahunan!


Untuk ibadah ini, Kita kembali kepada sifir yang kita belajar dari mula kenal nombor 1-9. Sifir yang sangat mudah sebab hanya menggunakan kiraan sifir satu.
1x1=1
2x1=2…
[Nak best lagi bacaan sifir ni, alunkan seperti lagu Siti Sifir dalam rancangan Along yang dulu-dulu tu…]


Jika kita menyimpan RM 1.00 sehari, untuk tempoh setahun, simpanan kita akan menjadi RM365.00 (RM1.00x365 hari). Jadi hanya tambah RM5.00 lagi untuk cukup harga lantai RM370.00 tadi. Senang atau susah?


Jadi secara mudahnya kita akan dapat berkorban dengan satu bahagian setiap tahun. Bagi sesetengah orang, ini sangat mudah. Malah tidak menyusahkan. Berbanding dengan orang yang mengejar untuk melabur di dalam pelaburan dan juga berisiko seperti Skim Piramid dan Cepat Kaya. Kita pun selalu dengar kedai perabot yang besar selalu iklankan; Hanya beberapa ringgit dalam seminggu! Yang hebatnya ramai sangat “Orang kita” yang sapu.


Sebenarnya, Islam meyeru kita untuk merancang dengan baik kehidupan untuk hari ini demi hari esok. Bekerja hari ini seolah-olah akan hidup selamanya. Tetapi jangan lupa tentang ibadah. Beribadatlah untuk akhirat seolah-olah akan mati esok hari. Merancang untuk menikmati pulangan yang baik untuk akhirat.


Ibadat korban ini bukanlah untuk daging tersebut, tetapi sebenarnya keikhlasan dalam sudut yang paling dalam di hati kita. Belum cukup terlewat untuk mencari bahagian dan melaksanakannya. Carilah orang yang sepatutnya menerima daging korban, dan bersedekahlahlah untuk mendapat redha Allah swt. Semoga aidil Adha memeberi keinsafan, korban yang diterima oleh Nya.


Jelaslah kepada kita, bahawa ibadah korban itu disunatkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai satu latihan dan ujian bagi kaum muslimim untuk memupuk semangat berkorban. Dengan cara mengeluarkan sebahagian kecil nikmat dan rezeki yang dilimpahkan oleh Allah untuk dirasai oleh golongan fakir miskin sekaligus memanifestasikan syiar Islam itu sendiri.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Foam by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP