Redha Yang Indah
Thursday, December 25, 2008
Dalam hidup manusia, berbagai ujian yang dilalui dan ditempuhi. Ujian yang kadang kala menyesakkan nafas untuk menghadapinya. Ia seperti menjerut halqum dan juga uratan reih. Luahan rasa yang hanya di dalam hati sahaja mampu untuk menggambarkannya. Hati menangis munkin tiada siapa yang tahu. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Masalah hanya dapat diatasi dengan menghadapi masalah tersebut. Kita tidak dapat lari dari ketentuan Ilahi yang datang untuk menguji. Kekecewaan akan terus bersarang sekiranya cuba lari dari masalah. Lari dari masalah bukan penyelesai kepada musibah yang melanda.
Kegagalan dalam sesuatu lapangan kerjaya, kenaikan pangkat, perolehan pendapatan, perniagaan malahan gagal dalam percintaan, keluarga dan sebagainya adalah beberapa contoh kekecewaan yang bermain di minda manusia. Kita tidak dapat terlepas dari suasana begini. Kadang-kadang kita mendapat apa yang diminta dan dihajati, tapi munkin kebanyakannya kita gagal untuk mendapat apa yang dipinta. Hilai tawa munkin bertukar dengan tangisan hiba.
Kebanyakan manusia akan terus sedih dan terkilan dengan kegagalan. Tidak dinafikan perkara ini normal bagi manusia yang mempunyai naluri dan perasaan. Keadaan inilah yang membezakan antara yang ditaqdirkan dan yang menentukan dan penentu taqdir. Dialah sebagai Al-Khaaliq yang menciptakan.
Ya, munkin berkata dan memberi nasihat lebih mudah jika dibandingkan dengan orang yang menghadapi masalah. Tetapi perlu ingat jangan dilihat pada negatifnya, tetapi ingatlah kepada positifnya.
Allah swt menukilkan kalamnya tentang kurniaan kepada sesiapa yang dikehendaki dalam surah Al-Baqarah ayat 105 yang bermaksud;
“Dan Allah menentukan siapa yang dikehendaki-Nya (untuk diberi) rahmat-Nya (kenabian); dan Allah mempunyai kurnia yang besar”.
Hmm, terfikir sejenak apabila membaca mafhum ayat ini. Tapi, bagaimana dengan sesetengah orang yang seringkali gagal dalam mendapatkan sesuatu? Adakah dia diciptakan bukan untuk mendapat kejayaan yang diimpikan?
Kita renung lagi ayat yang diturunkan oleh Allah dalam surah az-Zumar ayat 53 ini;
Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Ayat ini untuk memberikan motivasi kepada kita bahawa jangan berputus asa. Tidak perlu curiga apa yang Allah janjikan kepada kita. Jangan kita berputus asa dari rahmat Allah. Walau sekecewa sekal pun, Redha dan syukur dengan ketentuannya adalah jawapannya.
Allah berfirman ketika menceritakan kisah Nabi sulaiman a.s di dalam Surah An-Naml ayat 40 yang sebahagiannya bermaksud;
Dan barangsiapa yang bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri dan barangsiapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia."
Di dalam surah Az-zuhrf ayat 32 pula Allah mengatakan;
Apakah mereka yang memberi rahmat Tuhanmu? Kami telah menentukan antara mereka penghidupan mereka dalam kehidupan dunia, dan kami telah meninggikan sebahagian mereka atas sebagian yang lain beberapa derajat, agar sebagian mereka dapat mempergunakan sebagian yang lain. Dan rahmat Tuhanmu lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan.
Oleh itu Redha yang indah hanya bila difahami dan diamati. Kepada yang pernah kecewa kepada sesuatu keputusan yang memeritkan atau munkin yang dikecewakan. Ingatlah Redha itu indah bagi yang menghiasinya di hati.
“Ya Allah, kami redha dengan ketentuan Mu yang maha mengetahui. Bimbinglah kami jalan yang engkau redhai. Berikanlah kami barakah disebalik ketentuan Mu ini. Berkatilah usaha kami. Kami redha dengan rahmat Mu yang dijanjikan untuk kami. Wahai Tuhan yang mengabulkan permintaan kami ini, kami redha Ya Allah…”.
0 comments:
Post a Comment